Proses pembersihan jiwa ini, haruslah menuruti beberapa langkah seperti berikut:

1.
Taubat : Taubat bermaksud mengosongkan diri daripada seluruh dosa dan maksiat dan menyesal ke atas dosa-dosa lalu dan berazam untuk tidak mengulanginya pada masa hadapan sepanjang umurnya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai... (At-Tahrim: ayat 8 ).

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Nya sebanyak 100 kali sehari"


2.
Muraqabah : Muraqabah bererti sentiasa merasakan diri kita ini diawasi oleh Tuhan pada setiap detik dan ketika, dan berasa yakin bahawa hanya Allah s.w.t. yang berhak ditaati, Dialah yang Maha Mengetahui setiap rahsia dan perbuatan kita. Bilamana seseorang Muslim ini sentiasa menerapkan perasaan yang sedemikian dalam dirinya, maka ia akan sentiasa mengingati Allah s.w.t., berasa lapang dada kerana keyakinannya itu dan sentiasa gemar ingin berdampingan dengan Allah dengan beribadah kepada-Nya. Malah ia akan sentiasa ingat dan waspada, andai kejahatan yang dilakukan pasti Allah mengetahuinya, walaupun orang lain tidak.

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Beribadahlah kamu kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia melihat kamu"


3.
Muhasabah : Muhasabah bererti menghitung dan mengimbas kembali perlakuan kita seharian, sama ada amalan yang kita lakukan lebih cenderung ke arah ketakwaan atau lebih cenderung ke arah maksiat. Sekiranya amalan kehidupan kita berada di tahap yang dimurkai Allah s.w.t., maka segeralah memohon keampunan kepada-Nya dan bertaubat serta menyesal dan seterusnya melakukan amal kebajikan.

4.
Mujahadah : Mujahadah bermaksud berjuang dan berusaha bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu yang senantiasa memujuk rayu diri kita melakukan perkara keji dan mungkar. Allah s.w.t. menjanjikan bahawa sesiapa yang bermujahadah, maka ia akan diberi petunjuk jalan-jalan Allah. Dan Allah s.w.t. akan tetap bersama orang yang baik. Hawa nafsu yang ada pada manusia itu berupa satu cabaran kepada kekuatan iman dan pemikiran kita dalam menentukan keputusan tindakan kita. Andai jalan yang baik dipilih, maka bersihlah jiwa kita dan andai tewas dengan kemahuan hawa nafsu amarah itu, maka semakin kotorlah jiwa kita di sisi Allah s.w.t.

 
Sesungguhnya seorang hamba Allah itu tidak akan dapat mengawal hawa dan nafsunya sekiranya ia mengharapkan ada orang lain yang akan mengawalnya. Ia tidak boleh menyalahkan orang lain sekiranya ia tidak dapat mengawal hawa nafsunya. Kawalan dari dalam diri sendiri itu adalah yang terpenting, seperti pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Hadis Rasulullah (s.a.w), mafhumnya:

"Beristiqamahlah kamu, dan bahawa sebaik-baik istiqamah dan seelok-elok amal kamu itu ialah sembahyang, dan tiada yang sentiasa berwuduk itu melainkan mukmin yang kamil." (riwayat Ibnu Majah)

"Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu ." (Hadith riwayat Bauhaqi).